SURAH AT-TIN
95. SURAH AT-TIN (8 ayat) – ‘BUAH TIN’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah At Tiin adalah surah ke-95 dalam Al-Quran. Surah ini terdiri dari 8 ayat, diturunkan sesudah surah Al Buruuj. Nama At Tiin diambil dari kata At Tiin yang terdapat pada ayat pertama surah ini yang ertinya buah Tin. Di dalam surah ini Allah SWT telah bersumpah dengan buah Tin, Zaitun, Bukit Thursina dan Mekah yang aman.
Setelah Allah SWT bersumpah dengan empat perkara itu, lalu IA menegaskan tentang penciptaan insan yang kejadiannya begitu sempurna sekali berbanding dengan makhluk lain. Tetapi tiba-tiba insan menjadi hina dina setelah ia mula bergaya dan menduduki taraf yang jauh lebih mulia dari haiwan. Kadang-kadang ada kalanya haiwan itu lebih baik dari insan yang sempurna kejadiannya, kerana haiwan tahu bertasbih kepada Allah SWT, sedangkan insan yang buruk akhlaknya terhadap Tuhan, tidak tahu bertasbih dan memujiNYA. Maka patutlah Allah SWT hina dina-kan dia.
Siapakah yang dapat menjaga martabatnya sebagai insan? Tidak lain kecuali "Orang yang beriman dan beramal soleh" (mengikut yang Allah SWT mahu, bukan mengikut apa yang manusia mahu tetapi berlawanan dengan Allah SWT).
Di hujung surah, Allah SWT bertanya "Bukankah Allah itu adalah seadil-adil Hakim?" Allah SWT telah mencipta kita dengan sempurna dan Allah SWT sediakan jalan untuk kita hidup dan ciptakan peraturan menjadi panduan perjalanan kita. Apabila kita tidak bersedia menerima peraturan itu, maka jika Allah SWT bertindak, itulah dia yang dikatakan Allah Maha Adil.
Dalam surah At Tiin, diterangkan bahwa manusia itu adalah makhluk Allah SWT yang mempunyai kesanggupan baik lahir maupun batin. Kesanggupannya itu menjadi kenyataan bilamana mereka mengikuti jejak Nabi Muhammad SAW.



No comments:
Post a Comment